Allah SWT telah menitahkan Malaikat untuk berjumpa raja iblis dan menyuruh
raja iblis mengadap kehadhirat Baginda Junjungan Besar Nabi Muhammad
Rasulullah S.A.W. bagi membuka segala jenis rahsia kegemaran dan kebencian
raja iblis. Peristiwa ini juga membayangkan ketinggian darjat Baginda
Rasulullah S.A.W. serta menjadi perisai dan peringatan kepada sekelian umat
Baginda. Malaikat menyatakan Titah Allah SWT kepada raja iblis :
Hai iblis!! Bahawa Allah SWT Yang Maha Mulia lagi Maha Besar telah menitahkan engkau supaya
mengadap kehadhirat Rasulullah S.A.W. dan hendaklah engkau membuka segala rahsiamu dan
apa-apa yang disoal oleh Nabi Muhammad S.A.W. hendaklah engkau menjawab dengan benar
dan sekiranya engkau berdusta walau satu perkataan sekalipun nescaya diputuskan segala
anggotamu dan uratmu serta engkau akan disiksa dengan azab yang amat keras
Mendengar sahaja perkataan Malaikat berkenaan, iblis terasa dahsyat dan amat gerun sekali.
Dengan segera iblis datang mengadap Baginda Rasulullah S.A.W. dengan menyamar menjadi
seorang tua yang buta sebelah matanya serta berjanggut putih sebanyak 10 helai yang
panjangnya seperti ekor lembu. iblis memberikan salam dengan penuh hormat dan takzim
sebanyak 3 kali yang tiada dijawab oleh Baginda Rasulullah S.A.W.. iblis pun bertanya :-
Yaa Rasulullah, mengapakah Tuan Hamba tidak menjawab akan salam hamba kerana bukankah
salam itu sangat mulia di sisi Allah SWT?